Rabu, 7 April 2010

PAHITMANIS JADI AHLI PARLIMEN SEPENGGAL......

PAHITMANIS MENJADI MP SEPENGGAL
Sangat kurang yang manis….banyak yang pahit umpama hempedu.


Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana atas Kudrat & IradatNya jua pastinya saya berpeluang dapat menjadi Ahli Parlimen Tampin ( MPT ) pada tahun 1982 hingga 1986. Ianya menjadi sejarah unggul kehidupan saya sebagai hamba Allah yang fakir di-dunia fana ini.

Terimakasih juga kepada pemimpin tertentu UMNO NSDK ketika itu dan juga kepada Tun Dr Mahathir kerana memberi kepercayaan kepada saya meneruskan khidmatbakti Dato’ Mukhtar Hashim, MP sebelum saya.

Saya menjadi MPT berbekalkan satu surat / memo tulisan tangan Dr Mahathir Mohamad, Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Bunyi memo Dr M seperti dibawah :

Tahniah sdra dipilih menjadi Calun BN Tampin. Tugas utama saudara ialah menyatupadukan semula orang melayu yang telah berpecah belah. Selamat melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Menjadi MPT dalam keadaan yang payah….

Keadaan politik diTampin ketika itu memang payah, rumit, bercelaru, emosional dan amat tegang. Maklumlah saorang ADUN / EXCO dari Gemenceh mati dibunuh. MPT ketika itu telah dibicarakan atas tuduhan membunuh , didapati bersalah dan dipenjarakan dan kerana itulah PRU Kecil perlu diadakan dan saya dipilih menjadi calun BN.

Orang Tampin , bukan sahaja dari kaum melayu tetapi juga dari semua kaum berpecah kepada sekurang-kurangnya 3 kumpulan.

Kumpulan pertama yang dominan ialah penyokong Dato’ Mukhtar..yang rata rata tidak percaya Dato’ Mukhtar membunuh Dato’ Taha walaupun mahkamah mendapati beliau bersalah. Mereka percaya Dato’ Mukhtar difitnah dan ada pemimpin tertentu NSDK menjadi dalangnya. Kumpulan ini merupakan kumpulan majoriti..robust, kasar dan berpegang kepada konsep …bujur lalu melintang patah…matlamat menghalalkan cara. Mereka ini terdiri dari orang Kota, Gemenceh dan ada juga penyokong dari gemas..tetapi kurang dari rompin.

Kumpulan kedua ialah penyokong Dato’ Taha, juga terdiri dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka sedih, pilu, marah dan geram. Mereka percaya akan tuduhan terhadap Dato’ Mukhtar dan orang orang kuatnya. Ramai daripada mereka terdiri dari orang gemenceh, gemas dan rompin. Ada juga beberapa orang rembau tapi tidak ramai.

Kumpulan ketiga ialah terdiri daripada orang yang berkecuali atau tak peduli termasuklah ahli ahli parti PAS.

Scenario politik Tampin ketika itu dirumitkan lagi oleh scenario politik UMNO NSDK yang berpecah kepada dua kumpulan . Yang dominan ialah kumpulan penyokong Dato’ Isa Samad. Kumpulan kedua ialah penyokong Dato’ Rais Yatim. Ketua UMNO Perhubungan NSDK ketika itu ialah Dato’ Rais manakala Dato’ Isa menjadi timbalan.

Scenario inilah yang membuatkan Dr M memilih saya agaknya menjadi calun BN. Alasannya barangkali adalah seperti berikut :-

1. Calun BN tidak boleh datang dari Rembau mahupun Gemenceh kerana sensitiviti ketika itu.
2. Calun BN perlulah sama-ada dari Gemas atau Rompin. ( ketika itu Parlimen Tampin ada 5 DUN – Kota ( Rembau ) Repah, Gemenceh , Gemas dan Rompin )
3. Calun BN mestilah orang berkecuali. Yang terbaik ialah orang yang tidak terlibat dalam pergolakan politik Tampin atau orang yang tidak tahu berkenaannya.

Berdasarkan kriteria itulah barangkali Dr M , memilih nama saya dari 18 nama yang dikemukakan oleh UMNO Bahagian Tampin yang ketika itu diketuai oleh Dato’ Adib Adam Ketua Menteri Melaka. Jika kriteria diatas menjadi penentu, saya memang menepatinya, pertama saya berasal dari Gemas, kedua saya memang tidak ada terlibat sedikitpun dalam kancah politik Tampin, dan saya tak ambil kesahpun hal bunuh membunuh itu. Saya ketika itu hanya saorang ahli UMNO cawangan Kg Londah kampong asal saya.

Tidak ada saorang pemimpin tertinggi UMNO baik diperingkat Nasional mahupun diperingkat NSDK yang mengenali saya secara peribadi melainkan Dato’ Saleh Hashim ( Dun Gemas - sebab sebelum itu saya bertugas sebagai Pegawai KTMB daerah Gemas ) melainkan Dato Ali Manat ( DUN Ulu Muar – kerana dia abang ipar saya ) dan Dato’ Ahmad Kasim ( DUN Seri Menanti – kerana saya jadi tutor dia untuk ambil STP di Kuala Pilah ) Dato Rais & Dato Isa Samad hanya mengenali saya buat kali pertamanya di majlis penyerahan surat Dr M di rumah Dato’ Rais Jalan Ampang KL, 2 hari sebelum penamaan calun.

Ketika itu saya bertugas di KTMB sebagai Timbalan Pengarah Kewangan & Sumber Manusia , Jabatan Operasi KTMB . satu jawatan yang baru diujudkan bertaraf superscale G ( kini JUSA C ). Sebulan sebelum itu saya adalah Pengarah Jabatan Stor & Bekalan KTMB

Kekecohan berkaitan pemilihan saya sebagai calun BN terserlah dan sampai kekemuncaknya pada malam sebelum penamaan calun. Dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Dato Adib Adam dan dihadhiri oleh Dato Isa Samad ( Dato’ Rais tidak hadhir ) Saya tidak dipanggil menyertai mesyuarat dan diarah oleh Dato Isa menunggu sehingga mesyuarat tamat, di Restoran Melati ditingkat bawah bangunan UMNO Bahagian Tampin.

AJK UMNO Bahagian Tampin yang majoritinya saya tak kenal membuat bantahan rasmi atas keputusan Dr Mahathir memilih saya sebagai calun BN. Mereka mahukan Mohd Nor Rejab ( ketika itu saya tidak kenal Md Nor Rejab ) menjadi calun. Mereka meminta Dato’ Isa Samad menelefon Dr Mahathir untuk merayu agar pemilihan saya dibatalkan dan diganti dengan Mohd Nor Rejab. ( waktu tu dah jam 3 pagi )

Sekitar 3 pagi Dato’ Isa turun dan minum bersama saya. Dato Isa memberitahu saya sambil merungut…gila betul orang Tampin ni, ada ke dia suruh saya telefon PM tengah malam buta ni minta Md Nor rejab jadi ..calun BN.

Saya kata pada Dato’ Isa…kalau tak terpilih pun saya tak kisah..sebab..saya memang tak tahu politik…tapi Dato’ kenalah tolong saya cari kerja sebab saya dah letak jawatan saya di KTM seperti yang disyaratkan.

Dato Isa bagitau saya..no no..PM dah pilih you…sekejap lagi saya naik atas dan bagitau mereka saya dah telefon PM dah…PM kata decision stick….Memang Dato’ Isa orang politik yang bijakpandai.

Saya jadi gerun dengan apa yang terjadi..semasa itu saya terfikir akan bangkangan isteri saya …atas penerimaan saya sendiri dicalunkan sebagai MPT..maklumlah macam macam yang dia dengar dengan politik ala koboi Tampin…sorang mati ..sorang kena penjara…isteri mana yang tidak susah hati..

Bertambah lagi masalah saya jika menang PRK dan jadi MPT iaitu majoriti AJK UMNO Tampin yang rata rata penyokong kuat Dato Mukhtar tidak menyukai saya dan sudah pasti akan menjadi musuh politik saya dan dalam hal ini mereka tidak akan berhenti selagi hajat belum tercapai…..

Keputusan Dr M adalah muktamad dan akhirnya saya dipilih menjadi MPT dengan majoriti yang besar. Ini melegakan saya kerana rakyat Tampin menerima saya. Yang tidak menerima ialah sebahagian besar AJK UMNO Bahagian Tampin. Itulah yang menjadi cabaran utama saya ..mendapatkan sokongan majoriti AJK UMNO Bahagian Tampin…atau…..

Setelah dipilih , saya dinasihatkan oleh Arwah Pakcik Said Jata yang ketika itu menjawat jawatan SU UMNO Tampin untuk menziarahi Dato Mukhtar dipenjara. Pakcik Said sendiri akan uruskan untuk dapat persetujuan Datin ( isteri Dato Mukhtar ) . Saya setuju atas cadangan itu…tetapi esoknya Pakcik said beritahu saya , Datin tak setuju terima saya jadi pelawat..Datin kata saya orang dato Rais Yatim.

Satu lagi masalah saya timbul….iaitu diklasifikasikan sebagai orang Dato Rais -masalah ini berpanjangan hingga saya berhenti.

Bersambung……………….

Catatan ini hanyalah catatan pengalaman..dan pandangan peribadi saya ..untuk dijadikan teladan dan sempadan bagi politikus khasnya UMNO Tampin. Janganlah bergaduh sesama sendiri merebut jawatan hingga menimbulkan suasana tension & tegang…ingatlah kepada sejarah ….sampai hari ada dikalangan pemimpin UMNO pusat panggil saya koboi kecil…..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ulasan adalah sangat dialu-alukan
ulasan adalah atas tanggungjawab anda sendiri