Rabu, 14 April 2010

RAGAM KEHIDUPAN....cerita cerita

RAGAM KEHIDUPAN….yang hendak kudengar

CERITA SATU

Saorang abang ingin meminjam duit dari adik perempuannya. Bila siadik bertanya apa masalah siabang hingga perlu wang sebanyak itu siabang jadi marah dan mengherdiknya …

“apolak kau nak tau ….den rotilah ( tahulah ) nak guno duit tu “..

Yang sebenarnya abang takut nak beritahu adiknya yang dia nak bayar hutang kepada along . Siadik enggan bagi pinjam ..lagipun dia sibuk buat persiapan nak ke-Mekah tunaikan Rukun Haji.

Apabila balik dari Mekah siabang telefon lagi..Si-adik bersetuju nak bagi pinjam…bila siadik setuju ..bukan menerima terimakasih..kena tengking lagi…

“tulah kau ..kok dulu ..sobolum poi mokah bagi den duit tu dah langsailah hutang den kek along tu….

Siabang tak sedar tembelangnya dah pecah….
Tak tahulah gemasindah jadi ke siadik bagi pinjam …tulah deh roman ee abang yg goma bojudi hinggo pinjam duit kek along.

Gemasindah…cam mano susah pun tak usahlah pinjam duit dari along ..buruk padahnya. Dan tak usahlah dekatkan diri pada judi. Lum ado org bojudi kayo doh.

CERITA DUA

Saorang adik menceritakan kepada kakaknya tentang keuntungan menjalankan perniagaan sewa bot laju kepada pelancong di Penang. Katanya kalau musim pelancong Arab, sebulan boleh dapat RM 25,000.00.

Siadik nak pinjam RM 20,000.00 untuk beli bot berkenaan. Sikakak bersetuju beri pinjaman asalkan siadik beri 30% share dalam perniagaan itu.

Siadik melenting dengan berkata “ kau ni busuk hatilah…kan banyak den nak pinjam 20 ribu yo…dah tu nak syer 30 % pulak. Bori yo tak bulih ko ?

Sikakak jadi bengang ..dan enggan beri pinjaman kerana tahu akan jadi kes pinjam puntung api . Siapa yang berhati busuk …kakak atau adik ?

Gemasindah …kok ado sinnggit ( RM 1 ) apalah salahnya bagi kakak yang jadi pemodal tu 30 sen …okap yg tak kono tompek ..langsung tak dapek apo…

CERITA TIGA

Siabang berunding dengan adik lelakinya tentang hal harta keluarga. Akhirnya siadik bersetuju. Sudah tiga bulan apa yang telah dipersetujui tidak juga dilaksanakan oleh siadik. Siabang pergi cari siadik dan bertanya kenapa siadik tidak lakukan apa yang telah dipersetujui …siadik kata kau ni pembohonglah bang bilo pulak den setuju …

Mereka berunding lagi …dan akhirnya adik bersetuju..siabang tulis dikertas tentang apa yang telah dipersetujui itu…minta siadik tandatangan ..siap dengan tulis tarikh dan waktunya sekali. Sekali lagi siabang menunggu hingga dua bulan. Pergi lagi jumpa siadik…sekali lagi adik tak mengaku yang dia dah setuju…

Siabang tunjukkan kertas yang siadik tandatangan tu …bro tahu tak apa jawapan siadik…..

“ Yolah bang dulu tu den setuju ..tapi sokarang den dah tak sotuju doh….”

Abang jadi bengang terus balik…dan melupakan segala budi baik adiknya.

Gemasindah…..orang macam siadik inilah yang di gelar MOLAUN.

CERITA DIDIKAN SUAMI ISTERI…..

Sisuami saorang ADO sangat mengasihi isterinya yang teramatlah jelita…..
Siisteri pula tak suka diganggu gugat rumahtangganya oleh keluarga suaminya. Baru tiga bulan kahwin mak mertuanya datang nak tinggal dirumah anaknya dalam dua tiga hari…..siisteri suruh mak mertuanya tinggal dibilik orang gaji…bilik orang gaji tu pulak ..bilik airnya ..tak berair…maka kenalah mak mertua…mandi dibilik air kamar tetamu…

Maka melentinglah siisteri yang cantik jelita itu….yang bestnya siisteri tunjuk handal sebaik sahaja suaminya ADO tu balik…tuduh emak suaminya orang kampong pengotor yang tak tahu jaga kebersihan…dah tu tuduh pula emak mertuanya mencuri baju singlitnya …Sisuami diam tak berdetik ibunya dimarah oleh isteri yang cantik jelita itu…..

Siemak yang sedih ..minta abang ADO tu ambilnya dan bawa balik kekampong.

Siabang bertanya siadik ..” Bilo bini kau tongking omak kau kek mano dik ? “
Ado ..jawab adik. Tanya siabang ..dah tau bini kau kurang ajar kek omak konapo kau tak nasehatkan dio dan suruh mintak ampun kek omak ?

Siadik jadi bengang dengan pertanyaan abangnya itu…Dia menjawab.

Hei abang nabi Adam tak dapek boto’kan ( betulkan ) Siti Hawo …kau suruh den pulak moto’aan ( betulkan ) bini den ..kau pooi bolaja agama laii..lah bang.

Siabang terus bawa emaknya balik kampong..tanpa mahu berkelahi dengan adiknya yang sangat pandai ilmu agama itu.

Gemasindah……ramai yo lolaki camni….sobona ee lolaki yg berbini cantik solalu sakit jiwa…jadi keneneng macam ADO diatas. ( Cerita tu cerita benar bukan rekaan gi )

ORANG TANAM SEMULA GETAH …ORANG OTAK BERKARAT

Baru-baru ni tanah pinggir Londah ditanam semula. Pembeli kayu getah menawarkan harga RM 7 ribu saekar. Satu lot pinggir 3 ekar dapatlah RM 21 ribu. Lumayan juga. Tanam semula pula dikelola oleh RISDA melalui RTB.

Ada saorang pegawai tinggi kerajaan berasal dari Londah melarang emaknya tanam semula getah tersebut dan jual kayu getahnya, dengan alasan tak nak emaknya berhutang dengan RISDA.

Dia beritahu emaknya biarlah kulit pokok getah tu tumbuh semula, bila dah tumbuh nanti ..boleh ditoreh semula dan susu getah akan lebih banyak. Emaknya tanya …kenapa orang lain tak tunggu kulit getah tumbuh…semuanya nak tanam semula…Sianak jawab…orang tu otak ee dah bokarat mak.

Sampai hari ini kebun getah siibu tak bertanam semula. Kebun tu ada dekat projek halacara baru Kg Londah.

Otak siapa yang berkarat…orang ramai ke atau otak Pegawai Tinggi tu ?
Pegawai yo yang tinggi otak pogawai tu osah rondah ee….

JAMILAH JADI JAMIL

Saorang sahabat gemasindah yang kerja malam..pagi pagi esoknya berhajat nak pergi hantar kawan dia ke Tampin naik motosikal. Katanya nak hantar kawan kepejabat EPF nak keluarkan duit.

Gemasindah nasihatkan dia supaya tidur dahulu ..kerana bahaya naik motosikal kalau mengantuk. Dia kata tak boleh batal & tangguh bang sebab dah janji dengan Jamil.

Bila bertemu esok harinya , gemasindah tanya dia ..apo macm dah solosai ko hal Jamilah nak keluarkan epfnya tu ? Kawan gemasindah tu malu tersipu-sipu. Cam mano abang tahu ese bawak jando tu bojalan ..tanya dia…

Gemasindah…jawab …pertama mana ada pejabat EPF kek Tampin…Pejabat EPF kek Bahau…kedua kalau bukan kerana perempuan lebih lebih lagi janda takda lelaki yang nak bunuh diri doh…sampai tak tidur seminggu pun takpa.

Sampai hari ini kawan gemasindah tu jadi malu….memang sah yang dibawanya berjalan itu ialah saorang janda berhias bernama Jamilah…jadi.. hati dia sebut Jamilah ..mulut sebut Jamil…terra yo sahabat tu

Gemasindah…kok nak jadi pembohong ..belajarlah jadi pembohong…biar bohong tu nampak bohong yang cerdik…iaitu munasabahlah…

KOMEN & NASIHAT Gemasindah…..

Orang nak meminjam jadi pihak yang benar selalu..siberi pinjam selalu disalahkan…itu bila nak minjam ..bila nak bayar hutang …lagi salah orang yang beri pinjam…

Nasihat gemasindah….biar gaduh dulu asalkan tak gaduh kemudian. Dalam bab pinjam meminjam kurang sangat yang patuh pada janji.

Pegawai tinggi tu buat bohong pada emaknya kerana nak tutup pembohongan yang terdahulu..bahawa tanah pinggir itu dipindah kepada namanya bukan nama emak yang bertahun2 menyangka tanah pinggir tu dia yang punya.

Jumaat, 9 April 2010

SISTEM KERETAPI .. Dilema KTMB & Cadangan Penyelesaian

SISTEM KERETAPI….
Sambungan dari entri terdahulu……Bahagian 2 dari 3 bahagian.


PEMBELIAN LOKOMOTIF BLUE TIGER MERUPAKAN KESILAPAN TEKNIKAL KTMB - PEMBELIAN LOKOMOTIF CINA DARI DALIAN LOCOMOTIVES WORKS KESILAPAN SIAPA ?

Dalam waktu pembinaan landasan berkembar elektrikal sedang giat dijalankan pihak kerajaan / KTMB telah membuat keputusan yang silap dan membazir wang rakyat dengan membeli 40 unit lokomotif Disel Elektrik.

Adakah perlu dibeli lagi Diesel Electric Locomotives dalam jumlah yang besar sedangkan apa yang perlu dilakukan ialah to phase out lokomotif disel letrik sedia ada ? Yang perlu dibeli sepatutnya ialah ACL atau Lokomotif Elektrik sepenuhnya ! Kalaulah sekiranya kekurangan lokomotif sedia ada amat mendesak , langkah bijak ialah menyewa lokomotif disel elektrik dari India yang terbukti baik itu. Kenapa kerajaan membeli 20 Blue Tiger ( BT ) dan 20 lokomotif dari negara Cina ?

Pembelian lokomotif BT adalah kesilapan teknikal paling besar dan paling tidak professional kerajaan. Saya sebut kerajaan kerana menurut sumber , pihak KTMB tidak pernah meminta kerajaan membeli lokomotif tersebut. Kesalahan pengurusan tertinggi KTMB barangkali ialah tidak membantah pembelian tersebut. Apa nak bantah –sudahpun dibeli oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Kenapa pembelian lokomotif BT itu dikatakan kesilapan teknikal terbesar / big technical blunders ? . Dari segi teknikalnya BT yang memilikki long axle base yang panjang dan beratan 120 tan tidak boleh diguna pakai langsung di KTMB tanpa mendatangkan masalah teknikal kepada rel atau landasan.

Rel KTMB sedia ada adalah rel 80 pounds yang boleh menerima beratan maksima lokomotif sebanyak 60-80 tan sahaja. BT boleh digunakan sepenuhnya sekiranya keseluruhan landasan KTMB terdiri dari rel 120 lbs.

Long Wheel Base Locomotives akan membuka gauge landasan terutamanya di bahagian corners.( landasan bengkok ). Itulah sebabnya sejak KTMB menggunapakai BT kes kegelinciran akibat gauge terbuka dan rel retak dan patah telah meningkat secara mendadak.

Jikalah benar dakwaan bahawa pihak KTMB tidak pernah meminta untuk dibelikan BT..siapakah SMART ALEX di pihak kerajaan khususnya di Kementerian Pengangkutan yang membuat keputusan bodoh dan gila ini ? Kesemua BT & Lokomotif Dalian dibeli ketika DS Ling Liong Sik menjadi Menteri Pengangkutan Malaysia. Jika dakwaan ini benar maka terpulanglah kepada kerajaan untuk membuat penyiasatan.

Pembelian 20 unit Lokomotif Dalian ( LD ) dibuat oleh kerajaan secara barter trade. Yang peliknya walaupun Dalian membina lokomotif tersebut mengikut spesifikasi KTMB, kesemua lokomotif itu tidak boleh digunakan langsung sebaik saja dikomissionkan. Dalam perkara ini kita berasa pelik ….. apakah yang dibuat oleh jurutera penyelia KTMB yang dihantar kekilang Dalian untuk buat inspection.

Dengar khabar kerosakan awal itu telahpun dibaikki dan kesemua 20 lokomotif telah boleh digunapakai, tetapi dengarnya KTMB menghadapi masalah dalam mendapatkan alatganti.

KTMB SEKARANG INI KEKURANGAN JURUTERA & TENAGA TEKNIKAL BERPENGALAMAN DAN BERWIBAWA

Semasa PUTRA LRT mula dilancarkan, ramai jurutera sivil & mekanikal meninggalkan KTMB untuk berkhidmat dengan PUTRA kerana tawaran gaji dn kemudahan yang lebih bik. Kebanyakan jurutera ini merupakan jurutera yang berpengalaman. KTMB terpaksa mengambil jurutera baru dan menghantar beberapa juruteknik ( TA ) untuk melanjutkan pelajaran diperingkat BSc ke luarnegara.

Begitu juga halnya KTMB kehilangan kakitangan teknikal diperingkat bawah seperti fitter yang ramai telah bersara. Sepatutnya beberapa fitter yang baik digaji secara kontrak untuk melatih fitter / chargeman yang baru.

SISTEM PENGURUSAN KTMB BERTUKAR – TUKAR MENGIKUT PERTUKARAN ORANG NO 1

Adalah malang bagi KTMB kerana style pengurusan bertukar dan berubah mengikut CEO baru yang menerajui KTMB. Sejak kerajaan mengambil aleh semula KTMB daripada Renong hingga hari ini, sudah ada 3 CEO. Setiap CEO memperkenalkan cara pengurusan sendiri. Akibat tiada kontinuiti ini kecelaruan timbul diperingkat kakitangan bawahan. Dua CEO terdahulu adalah orang dalaman KTMB sendiri. CEO sekarang dibawa masuk dari ERL.

Perubahan stail pengurusan yang mendadak yang dilakukan oleh Renong, ialah perubahan dari decentralization kepada pengurusan cara region / wilayah. Kemudian pengurusan cara wilayah dipinda sekali lagi kepada full centralization dengan pengwujudan unit pengurusan strategik diperingkat ibu pejabat.

Pembasmian pengurusan diperingkat daerah pada pandangan saya, membawa kepada kesan kekurangan kawalselia yang membawa kepada ketidakcekapan dan pembaziran aset. Ini merugikan. Saya rasa KTMB perlu kembali kepada pengwujudan semula pengurusan peringkat daerah seperti sebelumnya. Ini adalah kerana mutu kakitangan kita tidak serupa dengan dinegara lain. Roda KTMB berpusing setiap detik selama 24 jam sehari ,365 hari setahun tanpa berhenti. Penyeliaan kakitangan yang berterusan adalah cara pengurusan yang lebih sesuai.

Sementara itu perlantikan jurutera sebagai pentadbir adalah amat merugikan. Ini adalah pembaziran aset yang jelas. Begitu juga amalan selalu menukarkan pegawai pegawai peringkat tinggi dari jabatan kejabatan yang sangat kerap. Contohnya ada pegawai tinggi KTMB berkelulusan Master Degree sudah tiga kali menjawat jawatan Pengurus Besar Keselamatan dan Pengurus Besar Sumber Manusia sedangkan pegawai itu merupakan pegawai yang banyak pengalaman dalam pengurusan operasi teren.

Bersambung…………
Bahagian 3…..Pilihan KTMB & Pilihan Kerajaan ???
Rencana & pandangan peribadi Omar Abdullah –ex railwayman

Bahagian terakhir…….


PILIHAN KTMB UNTUK SELESAIKAN MASALAH
GET TUNED TO MODERNIZATION

Era Pemodenan sudah bermula di-KTMB dengan pembinaan landasan berkembar seluruh sistem dan peralihan gunatenaga dari Diesel Electric kepada Fully Electrical. Dalam penjanaan tenaga letrik tiada apa yang perlu dirisaukan kerana bekalan tenaga letrik diperolehi dari TNB secara terus. Setakat hari ini pihak KTMB tiada menghadapi masalah besar dalam menyelenggara sistem elektrifikasinya.

Yang menjadi masalah utama ialah penyelengaraan sistem elektrik rolling stocks seperti yang dialami dalam menyelenggara EMU sedia ada. Dengan perolehan EMU & DMU baru sudah pasti KTMB akan menghadapi banyak cabaran.

Tiada jalan lain selain daripada melatih kakitangan sedia ada supaya menjadi professional . Pihak KTMB perlulah memasukkan keperluan ini dalam perjanjian pembelian rolling stocks dan seterusnya memperbaikki sistem latihan berterusan dalaman KTMB sendiri apatah lagi Pusat Latihan Baru telahpun siap di Batu Gajah.

Kakitangan yang dipilih dan dilantik sebagai pensyarah mestilah betul betul mahir dan berpengalamn dalam bidang masing-masing . Tidaklah lagi boleh sistem tangkapmuat diteruskan atau pusat latihan dijadikan cold room kakitangan yang tidak disukai atau yang lemah.

Perlu juga difikirkan membawa pensyarah luar terutama dari manufacturer untuk melatih tenaga pengajar Pusat Latihan KTMB. Latihan untuk menghadapi cabaran baru perlulah dimulakan dari sekarang. Adalah tidak bijak tindakan melatih kakitangan dibuat apabila rolling stocks sampai.

DILEMA KTMB – LANDASAN DAH SIAP
ROLLING STOCKS MASIH BELUM DIBELI.

Dilema utama KTMB sekarang ialah, walaupun landasan baru berkembar keutara telah siap sepenuhnya dan telah dikomisionkan, pihak kerajaan masih lagi belum menyediakan peruntukan untuk membeli rolling stocks yang diperlukan. Kenapa begitu ?

1 Adakah disebabkan oleh kerajaan tidak mempunyai peruntukan memandangkan ekonomi negara masih belumpulih sepenuhnya ? atau

2 Kerajaan mempunyai rancangan tertentu berkaitan KTMB yang tidak memerlukan kerajaan membuat pelaburan. ?
PILIHAN MUNASABAH KERAJAAN BERKAITAN KTMB
UBAH PERANAN KTMB – SAPERTI PLUS

Saya lebih suka memilih yang kedua iaitu kerajaan tidak perlu lagi melabur dengan membeli rolling stocks baru untuk KTMB. Pelaburan dalam pembelian rolling stocks ini adalah tinggi. Serahkan kepada swasta untuk membuat pelaburan ini.

Pada hemat saya ada banyak kebaikan dan faedah jangka panjang sekiranya kerajaan merobah peranan KTMB bersesuaian dengan keadaan semasa.

Kerajaan perlu memikirkan untuk menjadikan KTMB sebagai pembekal dan penjaga prasarana sahaja manakala pelbagai perkhidmatan dibuka kepada pihak swasta . Jika ini dilaksanakan maka perana KTMB adalah serupa dengan peranan pemegang konsessi lebuhraya seperti PLUS dan lain lain.

SWASTAKAN PERKHIDMATAN TEREN PENUMPANG, KOMUTER & TEREN BARANG / FREIGHT

Saya sangat yakin bahawa ramai pelabur dalam dan luarnegara berminat dalam perkara ini saperti syarikat YTL Corporation , Nadicorp Bhd dan tokoh korporat TS Syed Mokhtar Al-Bukhari .

Sebagai contoh perkhidmatan teren antarabandar ( intercity express ) boleh disediakan oleh satu syarikat atau beberapa syarikat ( berdasarkan kajian teliti terlebih dahulu ) . Syarikat penyedia perkhidmatan inilah yang akan membeli set set EMU yang diperlukan. Dengan cara ini wang kerajaan boleh digunakan ke sektor lain.

Bagi perkhidmatan freight secara pukal seperti simen pada waktu ini kebanyakan gerabak BBC ( Bogie Bulk Cement ) disediakan oleh syarikat pengilang simen. Apa yang perlu dibeli lagi ialah DMU untuk menarik gerabak gerabak tersebut. Berdasarkan perkhidmatan KTMB sejak dahulu yang kurang memuaskan hati , saya rasa syarikat simen seperti CIMA, Tasek Cement dan APMC akan bersetuju jika kerajaan meminta mereka menguruskan teren barang mereka sendiri.

Walaubagaimana pun cadangan seperti ini memerlukan kajian terperinci untuk dilaksanakan.

SEKIRANYA PENSWASTAAN BUKAN PILIHAN……..

Sekiranya kerajaan berpendapat penswastaan belum lagi perlu, maka adalah sangat penting kerajaan menyediakan peruntukan kepada KTMB untuk membeli rolling stocks yang diperlukan. Adalah amat rugi menyelenggara landasan tanpa digunakan secara maksima.
DAPATKAN ROLLINGSTOCKS SECARA LEASING.

Menyewa rollingstocks secara pajakan dengan peruntukan khidmat penyelenggaraan dilakukan sendiri oleh pembekal adalah cara yang amat munasabah yang perlu difikirkan.

Pihah KTMB sendiri mempunyai pengalaman yang baik dalam kes menyewa lokomotif dari India.

Berdasarkan sistem yang sama pihak KTMB boleh menyewa EMU, DMU malah koc koc penumpang dari pembekal antarabangsa. Jika kos menjadi faktor utama, maka pembekal dari negara cina merupakan pilihan. KTMB tidaklah perlu menjadikan kes pembelian lokomotif Dalian sebagai kayuukur keupayaan negara cina. Ini adalah kerana keretapi negara cina adalah sistem keretapi terbesar dunia. Sistem keretapi cina merentasi zon zon pelbagai cuaca dan merupakan sistem pengangkutan massa yang populer dan teknologi negara tersebut telah diakui seluruh dunia.

Kaedah sewapajak + penyelenggaraan ini akan melegakan belanjawan negara dan KTMB sendiri. KTMB bolehlah bertumpu kepada memperbaikki perkhidmatan sektor lain khasnya penyelenggaraan landasan dan sistem elektrikal. Barangkali KTMB boleh memperbaikki lagi perniagaan courier dan pengiklanan atau pembangunan lain lain aset.

TINDAKAN SEGERA YANG PERLU DI-AMBIL

1 Keputusan segera berkaitan penswastaan perkhidmatan rel
2 Membeli atau sewa EMU / DMUS
3 Melantik kontraktor baikpuleh kedua
4 Manpower Trainings Modal Insan

TERUSKAN GAGASAN DR M BERKAITAN Pan ASIAN Railways
JADIKAN KTMB SEBAGAI R&D CENTER INDUSTRI KERETAPI NEGARA.

Pada hemat penulis keputusan Pak Lah membatal ( kemudiannya jadi penangguhan yang merugikan ) gagasan Dr Mahathir untuk mengwujudkan Pan Asian Railways – Johor Baru ke Kunming ( Cina ) adalah satu BLUNDER yang merugikan negara. Penulis faham kenapa hal ini menimbulkan kemarahan amat sangat Yang Berbahagia Tun. Penulis yang hanya saorang rakyat biasa pun jadi marah atas kesilapan ini.

Pada penulis cadangan Pan Asian Railways ini ( selepas ini dirujuk sebagai Gagasan Dr M / GDM ) adalah penutup kepada Grand Design Sistem Logistik Malaysia Dr M.


Step one….permodenan Pelabuhan Pasir Gudang disebelah timur,
Step two – penwujudan pelabuhan baru serba moden disebelah barat iaitu Pelabuhan Kontena Tanjung Pelepas,
Step three pembesaran dan permodenan Pelabuhan Kelang melalui projek Westport ,
Step 4 pengwujudan landasan berkembar & elektrikal KTMB,
Step 5 …Jambatan Bengkok,
Step 6 ..Pan Asian Railways.

Saingan Malaysia dalam industri logistik ialah Singapura. Port Singapore Authority menghadapi pelbagai masalah untuk terus berkembang. Jika halangan Tambak Johor dirobohkan , laluan laut Selat Tebrau akan menjadi laluan utama kapal kapal ke-Timur Jauh. Ini akan manjadikan kedua-dua Pelabuhan Tg Pelepas dan Pasir Gudang sebagai pelabuhan persinggahan utama.

Perjalanan darat melalui rel sudah pasti lebeh pendek waktunya berbanding pelayaran kapal. Pasaran negara cina akan menjadi pasaran utama dunia dalam dekad akan datang. Jadi perlulah Pan Asian Railways dilaksanakan segera.

Kenapakah Pak Lah batalkan jambatan bengkok ? Kenapa Pak lah batalkan projek landasan berkembar yang diberikan kepada Syed Mokhtar ?

Adalah tidak masuk akal Pak Lah tidak tahu akan GDM ini sebab ketika itu beliau ialah Timbalan Perdana Menteri ? Macam – macam spekulasi telah timbul antaranya ialah peranan Temasik Holding dan peranan Khairy Jamaludin. Pak Lah yang tahu dan dia sepatutnya berasa bersalah dan malu.

DS Najib mesti teruskan GDM….

GDM perlu diteruskan oleh pentadbiran DS Najib. Setakat hari ini tidak ada yang diketahui umum. Belum ada pengumuman pihak kerajaan.

Industri rel dunia merupakan perniagaan bernilai ribuan billion USD. Di-Malaysia “almost nil “. Malah hampir semua peralatan, kelengkapan dan alatganti KTMB sekarang ini diimpot sepenuhnya. Teknologi kita dalam membuat peralatan keretapi hampir tiada.

Yang demikian sudah sampai waktunya Malaysia mengorak langkah kearah ini. Barangkali inilah yang hendak dilakukan oleh Dr M melaui GDM. Dalam hal ini barangkali KTMD boleh dijadikan asas untuk industri R&D keretapi.

Sekian..untuk renungan.
Salam Takzim dari…Omar Abdullah ..ex railwaymen..once a railwaymen ..always a railwaymen.

Rabu, 7 April 2010

PAHITMANIS JADI AHLI PARLIMEN SEPENGGAL......

PAHITMANIS MENJADI MP SEPENGGAL
Sangat kurang yang manis….banyak yang pahit umpama hempedu.


Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana atas Kudrat & IradatNya jua pastinya saya berpeluang dapat menjadi Ahli Parlimen Tampin ( MPT ) pada tahun 1982 hingga 1986. Ianya menjadi sejarah unggul kehidupan saya sebagai hamba Allah yang fakir di-dunia fana ini.

Terimakasih juga kepada pemimpin tertentu UMNO NSDK ketika itu dan juga kepada Tun Dr Mahathir kerana memberi kepercayaan kepada saya meneruskan khidmatbakti Dato’ Mukhtar Hashim, MP sebelum saya.

Saya menjadi MPT berbekalkan satu surat / memo tulisan tangan Dr Mahathir Mohamad, Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Bunyi memo Dr M seperti dibawah :

Tahniah sdra dipilih menjadi Calun BN Tampin. Tugas utama saudara ialah menyatupadukan semula orang melayu yang telah berpecah belah. Selamat melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Menjadi MPT dalam keadaan yang payah….

Keadaan politik diTampin ketika itu memang payah, rumit, bercelaru, emosional dan amat tegang. Maklumlah saorang ADUN / EXCO dari Gemenceh mati dibunuh. MPT ketika itu telah dibicarakan atas tuduhan membunuh , didapati bersalah dan dipenjarakan dan kerana itulah PRU Kecil perlu diadakan dan saya dipilih menjadi calun BN.

Orang Tampin , bukan sahaja dari kaum melayu tetapi juga dari semua kaum berpecah kepada sekurang-kurangnya 3 kumpulan.

Kumpulan pertama yang dominan ialah penyokong Dato’ Mukhtar..yang rata rata tidak percaya Dato’ Mukhtar membunuh Dato’ Taha walaupun mahkamah mendapati beliau bersalah. Mereka percaya Dato’ Mukhtar difitnah dan ada pemimpin tertentu NSDK menjadi dalangnya. Kumpulan ini merupakan kumpulan majoriti..robust, kasar dan berpegang kepada konsep …bujur lalu melintang patah…matlamat menghalalkan cara. Mereka ini terdiri dari orang Kota, Gemenceh dan ada juga penyokong dari gemas..tetapi kurang dari rompin.

Kumpulan kedua ialah penyokong Dato’ Taha, juga terdiri dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka sedih, pilu, marah dan geram. Mereka percaya akan tuduhan terhadap Dato’ Mukhtar dan orang orang kuatnya. Ramai daripada mereka terdiri dari orang gemenceh, gemas dan rompin. Ada juga beberapa orang rembau tapi tidak ramai.

Kumpulan ketiga ialah terdiri daripada orang yang berkecuali atau tak peduli termasuklah ahli ahli parti PAS.

Scenario politik Tampin ketika itu dirumitkan lagi oleh scenario politik UMNO NSDK yang berpecah kepada dua kumpulan . Yang dominan ialah kumpulan penyokong Dato’ Isa Samad. Kumpulan kedua ialah penyokong Dato’ Rais Yatim. Ketua UMNO Perhubungan NSDK ketika itu ialah Dato’ Rais manakala Dato’ Isa menjadi timbalan.

Scenario inilah yang membuatkan Dr M memilih saya agaknya menjadi calun BN. Alasannya barangkali adalah seperti berikut :-

1. Calun BN tidak boleh datang dari Rembau mahupun Gemenceh kerana sensitiviti ketika itu.
2. Calun BN perlulah sama-ada dari Gemas atau Rompin. ( ketika itu Parlimen Tampin ada 5 DUN – Kota ( Rembau ) Repah, Gemenceh , Gemas dan Rompin )
3. Calun BN mestilah orang berkecuali. Yang terbaik ialah orang yang tidak terlibat dalam pergolakan politik Tampin atau orang yang tidak tahu berkenaannya.

Berdasarkan kriteria itulah barangkali Dr M , memilih nama saya dari 18 nama yang dikemukakan oleh UMNO Bahagian Tampin yang ketika itu diketuai oleh Dato’ Adib Adam Ketua Menteri Melaka. Jika kriteria diatas menjadi penentu, saya memang menepatinya, pertama saya berasal dari Gemas, kedua saya memang tidak ada terlibat sedikitpun dalam kancah politik Tampin, dan saya tak ambil kesahpun hal bunuh membunuh itu. Saya ketika itu hanya saorang ahli UMNO cawangan Kg Londah kampong asal saya.

Tidak ada saorang pemimpin tertinggi UMNO baik diperingkat Nasional mahupun diperingkat NSDK yang mengenali saya secara peribadi melainkan Dato’ Saleh Hashim ( Dun Gemas - sebab sebelum itu saya bertugas sebagai Pegawai KTMB daerah Gemas ) melainkan Dato Ali Manat ( DUN Ulu Muar – kerana dia abang ipar saya ) dan Dato’ Ahmad Kasim ( DUN Seri Menanti – kerana saya jadi tutor dia untuk ambil STP di Kuala Pilah ) Dato Rais & Dato Isa Samad hanya mengenali saya buat kali pertamanya di majlis penyerahan surat Dr M di rumah Dato’ Rais Jalan Ampang KL, 2 hari sebelum penamaan calun.

Ketika itu saya bertugas di KTMB sebagai Timbalan Pengarah Kewangan & Sumber Manusia , Jabatan Operasi KTMB . satu jawatan yang baru diujudkan bertaraf superscale G ( kini JUSA C ). Sebulan sebelum itu saya adalah Pengarah Jabatan Stor & Bekalan KTMB

Kekecohan berkaitan pemilihan saya sebagai calun BN terserlah dan sampai kekemuncaknya pada malam sebelum penamaan calun. Dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Dato Adib Adam dan dihadhiri oleh Dato Isa Samad ( Dato’ Rais tidak hadhir ) Saya tidak dipanggil menyertai mesyuarat dan diarah oleh Dato Isa menunggu sehingga mesyuarat tamat, di Restoran Melati ditingkat bawah bangunan UMNO Bahagian Tampin.

AJK UMNO Bahagian Tampin yang majoritinya saya tak kenal membuat bantahan rasmi atas keputusan Dr Mahathir memilih saya sebagai calun BN. Mereka mahukan Mohd Nor Rejab ( ketika itu saya tidak kenal Md Nor Rejab ) menjadi calun. Mereka meminta Dato’ Isa Samad menelefon Dr Mahathir untuk merayu agar pemilihan saya dibatalkan dan diganti dengan Mohd Nor Rejab. ( waktu tu dah jam 3 pagi )

Sekitar 3 pagi Dato’ Isa turun dan minum bersama saya. Dato Isa memberitahu saya sambil merungut…gila betul orang Tampin ni, ada ke dia suruh saya telefon PM tengah malam buta ni minta Md Nor rejab jadi ..calun BN.

Saya kata pada Dato’ Isa…kalau tak terpilih pun saya tak kisah..sebab..saya memang tak tahu politik…tapi Dato’ kenalah tolong saya cari kerja sebab saya dah letak jawatan saya di KTM seperti yang disyaratkan.

Dato Isa bagitau saya..no no..PM dah pilih you…sekejap lagi saya naik atas dan bagitau mereka saya dah telefon PM dah…PM kata decision stick….Memang Dato’ Isa orang politik yang bijakpandai.

Saya jadi gerun dengan apa yang terjadi..semasa itu saya terfikir akan bangkangan isteri saya …atas penerimaan saya sendiri dicalunkan sebagai MPT..maklumlah macam macam yang dia dengar dengan politik ala koboi Tampin…sorang mati ..sorang kena penjara…isteri mana yang tidak susah hati..

Bertambah lagi masalah saya jika menang PRK dan jadi MPT iaitu majoriti AJK UMNO Tampin yang rata rata penyokong kuat Dato Mukhtar tidak menyukai saya dan sudah pasti akan menjadi musuh politik saya dan dalam hal ini mereka tidak akan berhenti selagi hajat belum tercapai…..

Keputusan Dr M adalah muktamad dan akhirnya saya dipilih menjadi MPT dengan majoriti yang besar. Ini melegakan saya kerana rakyat Tampin menerima saya. Yang tidak menerima ialah sebahagian besar AJK UMNO Bahagian Tampin. Itulah yang menjadi cabaran utama saya ..mendapatkan sokongan majoriti AJK UMNO Bahagian Tampin…atau…..

Setelah dipilih , saya dinasihatkan oleh Arwah Pakcik Said Jata yang ketika itu menjawat jawatan SU UMNO Tampin untuk menziarahi Dato Mukhtar dipenjara. Pakcik Said sendiri akan uruskan untuk dapat persetujuan Datin ( isteri Dato Mukhtar ) . Saya setuju atas cadangan itu…tetapi esoknya Pakcik said beritahu saya , Datin tak setuju terima saya jadi pelawat..Datin kata saya orang dato Rais Yatim.

Satu lagi masalah saya timbul….iaitu diklasifikasikan sebagai orang Dato Rais -masalah ini berpanjangan hingga saya berhenti.

Bersambung……………….

Catatan ini hanyalah catatan pengalaman..dan pandangan peribadi saya ..untuk dijadikan teladan dan sempadan bagi politikus khasnya UMNO Tampin. Janganlah bergaduh sesama sendiri merebut jawatan hingga menimbulkan suasana tension & tegang…ingatlah kepada sejarah ….sampai hari ada dikalangan pemimpin UMNO pusat panggil saya koboi kecil…..

Isnin, 5 April 2010

SISTEM PERKERETAPIAN - Masalah KTMB..Pandangan Bebas

SISTEM KERETAPI

Dikebanyakan negara baik negara maju mahupun yang sedang membangun sistem keretapi memainkan peranan penting dalam banyak perkara.

Sekarang ini nampak macam ada perlumbaan dalam teknologi perkeretapian dimana beberapa negara maju termasuk cina membuat pelaburan yang besar untuk mencipta teknologi terkini yang bertumpu kepada kelajuan & keselesaan sistem keretapi masing masing. Mengikut lapuran industri keretapi , teren penumpang terlaju masakini dan yang terbaru ialah high speed trains negeri cina. Tetapi masing masing negara bangga dgn HST mereka dan terus berusaha meningkatkan kemajuan masing masing…Pada penulis TGV masih memegang rekod kelajuan maksima yg diperakui oleh ramai pihak. ( 574.8 km/h )

Sementara itu sistem keretapi juga melibatkan mass transit sistem untuk mengatasi masalah pengangkutan kota kota metropolitan yang ramai penduduk.
Hampir setiap bandar besar dunia berbangga dengan sistem mass transit masing masing. Umpamanya kota London dengan London Tube, kota kota di negara Jerman dengan keretapi U-Bahnnya dan lain lain lagilah. Di Asia Tenggara sistem tercanggih ialah di Singapura. Manakala di Kuala Lumpur kita ada STAR LRT, PUTRA LRT & KL MONOREL.

Saya sedang menyediakan rencana berasingan berkaitan kemajuan sistem perkeretapian global ..entri akan datang

KTMB TIDAK LAGI MEMONOPOLI INDUSTRI REL

Di-Malaysia sistem keretapi tidak lagi di-monopoli oleh keretapi Tanah Melayu / KTMB. Sekarang kita sudah ada STAR LRT, PUTRA LRT, KL MONORAIL dan keretapi ERL – KL Sentarl ke KLIA. Kemajuan ini sepatutnya sudah melayakkan kita mengwujudkan industri keretapi kita sendiri. Barangkali inilah yang hendak dilakukan oleh Dr Mahathir tetapi dibantutkan oleh Pak Lah dengan membatalkan / menangguhkan rancangan pembinaan landasan berkembar letrik yang diberikan kepada Syed Muchtar Bukhari.

Rencana kali ini hanya menumpukan kepada KTMB sebagai pemain utama dalam industri rel negara.

PERKHIDMATAN KTMB ..TIADA APA YANG BOLEH DIBANGGAKAN

Berbanding negara lain , sistem keretapi kita telah ketinggalan begitu jauh kebelakang . Tidak ada apa yang boleh dibanggakan. Sepanjang hari ada sahaja aduan rakyat berkaitan perkhidmatan yang disediakan sedangkan Keretapi Tanah Melayu merupakan salah satu institusi negara, yang diwarisi dari Penjajah British yang dulu memanggilnya sebagai Malayan Railways.


PENYEBAB UTAMA KEKALUTAN KTMB IALAH KURANGNYA PELABURAN KERAJAAN SEBAGAI PEMILIK,

KTMB sejak dahulu merupakan jabatan kerajaan . Untuk beberapa tahun ianya telah diswastakan kepada syarikat RENONG BHD. Akhirnya Renong Bhd setelah menyedari kepayahan untuk memajukan KTMB menyerahkan semula kepada kerajaan.

Sebagai bekas pegawai keretapi , saya memahami masaalah yang dihadapi oleh KTMB. Saya berkhidmat dengan KTMB sejak tahun 1975 hinggalah ketahun 1982. Saya bermula sebagai Pegawai Trafik Daerah di Ipoh dan berhenti sebagai Pengarah Bekalan KTMB di Sentul.

Pada hemat saya masalah yang kami hadapi pada tahun tahun 1970 – 1980an dahulu bukan sahaja masih menghantui KTMB malah telah menjadi bertambah teruk.

Telah hampir 30 tahun saya meninggalkan KTMB. Kali terakhir saya menaikki tren penumpang dari Gemas ke KL ialah pada enam bulan yang lalu. Saya langsung tidak boleh tidur kerana bunyi bising koc dan perjalanan yang huyung hayang. Bila saya turun di KL Sentral saya rasa macam baru turun dari naik lori barang. Horizontal & Vertical movement koc sangat teruk. Barangkali disebabkan landasan sedang dibaikki kerana pembinaan landasan kembar Gemas – Seremban.

MASALAH TEREN KOMUTER

Saya terlibat juga dalam jawatankuasa spesifikasi pembelian EMU yang ketika itu diketuai oleh Encik Mazlan Waad , Timbalan Pengarah Kejuruteraan Mekanikal. ( tahun 1980 ? ) Didalam lapuran kami kepada Jawatankuasa Tender kami menegaskan bahawa apa juga keputusan kerajaan , kesemua EMU hendaklah dibeli dari pembekal yang sama.

Kami juga mencadangkan agar kerajaan membeli beberapa unit electrical motors yang menjadi penggerak utama EMU EMU yang akan dibeli itu supaya apabila rosak kita boleh buat unit replacement sahaja . Ini akan membuatkan turnover set set EMU berjalan mengikut perancangan kerana tempohwaktu EMU didalam bengkel baikpulih adalah pendek .

Ini adalah kali pertama KTMB membeli EMU yang moden dan sofistikated. Pengalaman membaikpuleh jurutera KTMB dan pekerja pekerja teknikal diperingkat menengah dan bawah hampir tiada. Ketika itu jumlah jurutera elektrik amat kurang berbanding jurutera mekanikal disebabkan selama kini selepas injin wap KTMB menggunakan Diesel Electric Locomotives yang bersifat mekanikal.


Namun entah keputusan siapa , kerajaan telah membeli EMU EMU tersebut dari pelbagai pembuat yang datang dari pelbagai negara Ada yang dibuat di Afrika Selatan, ada yang dibuat di Budapest Hungary dan ada yang dibuat diKorea Selatan dan di Jepun. Inilah EMU Mee Rojak namanya yang dibeli oleh kerajaan untuk diurus oleh KTMB yang tidak ada pengalaman.

Dan inilah punca utama perkhidmatan Teren Komuter KTMB sekarang ini, menjadi teruk dan amat menyusahkan rakyat khasnya penduduk Lembah Kelang Siapakah yang patut dipersalahkan pihak kerajaan atau pihak KTMB ??.

Masalah kepakaran dan pengetahuan kakitangan KTMB dari pelbagai peringkat termasuk pemandu juga menyumbang dalam perkara EMU ini. Entah apa sebabnya kakitangan teknikal tidak dihantar berlatih di kilang yang membina EMU EMU tersebut. Tidak ada kakitangan yang khusus yang dilatih untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang bidang khusus baikpulih EMU ini. Tidak masuk akal setelah hampir 20 tahun menjalankan Khidmat Teren Komuter KTMB masih gagal melahirkan tenaga teknikal yang berwibawa. Yang ini bukan salah kerajaan tetapi kesalahan pengurusan KTMB sendiri.

Saya diberitahu banyak kerosakan alat elektronik baik EMU mahupun lokomotif disebabkan oleh pemandu yang tidak faham bahasa Inggeris. Apabila komputer atau alat elektronik memberi amaran, pemandu menekan butang butang kawalan ikut suka hati atau pakai bantai shj. Akibat kejahilan ini …banyaklah peralatan yang rosak.

Perkara pemandu ini sangat mudah diatasi tetapi tidak diatasi. Pertamanya KTMB pilihlah bakal pemandu yang faham bahasa Inggeris. Kedua jika hendak dipilih pemandu bahasa malaysia juga, latihlah pemandu itu belajar bahasa Inggris setidak - tidak nya dia akan faham akan arahan penjagaan dan penggunaan peralatan yg terlibat.

Pada hari ini hampir 50% stok EMU tidak bergerak kerana rosak dan kesusahan pengurusan alatganti akibat faktor kepelbagaian. Pada saya sebab utama ialah kakitangan teknikal KTMB tidak punya ilmu dan pengalaman untuk membaikpulih peralatan utama EMU EMU tersebut. Barangkali untuk atsasi masalah ini memakan belanja yang tinggi kerana kita perlu membwa manufacturer yang belbagai itu untuk membaikki jumlah EMU yang pasti tidak ekonomik bagi mereka.

Untuk mengatasi masalah kekurangan EMU, akhirnya sahabat saya yang menjadi CEO KTMB ketika itu ( telah ditamatkan perkhidmatannya ) Dato’ Razak Malik melakukan perkara aneh yang tidak dilakukan orang lain. Razak memperkenalkan Komuter Hybrid ..iatu koc koc EMU yang tidak boleh bergerak lagi akibat kerosakan prime movernya ditarik dengan Lokmotif Disel. Agaknya KTMB pecah rekod sebagai orang yang pertama melakukan sebegitu..tetapi itulah pilihan yang ada.

Semasa perkhidmatan Komuter mula dimulakan dahulu hampir setiap minggu saya naik komuter dari Seremban ke KL. Satu perkhidmatan yang selesa, canggih dan membanggakan. Saya sendiri berasa amat bangga sebagai bekas kakitangan KTMB melihat kemudahan elektronik yang disediakan di setiap stesyen ..sungguh canggih.

Pada hari ini semua kemudahan canggih itu telah punah ranah..tanpa dibaikki dan dipedulikan. Ketepatan jadual tidak dapat disebut lagi seperti dahulu..setiap 15 minit akan adalah set komuter sampai daan berlepas dari Seremban. Alangkah sayang dan malunya …..Jelas akan kesilapan keputusan yang mengakibatkan kerugian dan malapetaka kepada KTMB dan rakyat.


MASALAH TEREN PENUMPANG / MEL / ANTARABANDAR

Masalah utama ialah ketidakcukupan koc koc penumpang sedangkan teren yang dirancang untuk dijalankan banyak. Kedua koc koc yang ada merupakan koc koc lama yang hampir habis tempoh hayatnya. Ketiga kekurangan tenaga penggerak iaitu lokomotif. Keempat ketiadaan worksyop baikpulih kerana Bengkel Sentul telah dirobohkan. Kelima ketidakcekapan kakitangan teknikal dalam baikpuleh khususnya peralatan hawadingin dan set generator letrik. Kelima masalah pengurusan yang tidak cekap.

Ketidakcukupan koc koc penumpang dan lokomotif menghasilkan masalah berangkai. Akibat yang paling teruk ialah koc koc hampir tidak dapat dibuat rawatan berjadual kerana terus menerus digunakan. Apabila sampai waktunya kerosakan menjadi teruk dan memakan masa untuk dibaikki..contohnya masalah brek dan roda menjadi tajam ( sharp flanges ) sedangkan kemudahan baikpuleh koc yang dulu ada di Bengkel Sentul …telah ditempatkan dipelbagai lokasi yang mengakibatkan kecelaruan mengurus , melambatkan jangwaktu baik puleh dan meningkatkan kos.

MASALAH LOKOMOTIF

Begitu juga halnya berkaitan lokomotif yang tidak cukup. Masalah tidak cukup lokomotif ini adalah masalah tradisi KTMB diwarisi generasi ke generasi. Sebenarnya dari jumlah stok lokomotif memang cukup. Ia menjadi tidak cukup kerana terlalu banyak lokomotif berada didalam worksyop…oleh kerana pelbagai sebab musabab yang dijadikan alasan yang munasabah. Perkara kurang lokomotif ini dapat dikurangkan dengan penyewaan lokomotif lama dari Indian Railways. Lokomotif ini dibuat di India pada tahun 1958..hingga hari ini masih berfungsi dengan baik. Malahan dari segi statistik lebih kurang rosak daripada lokomotif milik KTMB. Kenapa begitu ? Kerana loko loko itu penyelenggaraannya dilakukan sendiri oleh kakitangan Indian Railways. Jika dirawat dan dijaga oleh KTMB dah lama rosak dah.

Hairan dan ajaib juga ..kenapa KTMB tidak mahu belajar dari Indian Railways tentang rahsia bagimanakah lokomotif terlalu tua ..masih boleh berfungsi dengan baik ? Kenapa tidak hantar kakitangan belajar di India sahaja ?

MASALAH GERABAK & FREIGHT

Zaman saya dulu marshalling yard dimana mana jua sibuk siang dan malam menguruskan gerabak gerabak barang. Macam macam barang diangkut akibat usaha agresif pemasaran Tan Sri Ishak Tadin sebagai Pengurus Besar KTMB ketika itu. Hari ini hampir semua my sunyi sepi bagaikan padang jarak padang terkukur. Kenapa jadi begitu ? Sekali lagi pelbagai sebab musabab yang munasabah boleh diberikan !!!.

SEBAB UTAMA

Namun sebab utama perkhidmatan KTMB menjadi teruk ialah kurangnya pelaburan modal dari kerajaan sebagai pemilik untuk membeli rolling stocks terkini. Bayangkan kerajaan belanja billion ringgit membina landasan berkembar yang kini siap sepenuhnya dari Seremban ke Padang Besar. Dalam beberapa tahun lagi akan siap pula landasan berkembar seluruh semenanjung malaysia. Tetapi hingga hari ini kerajaan masih belum membeli rolling stocks yang diperlukan seperti EMU, lokomotif elektrik , koc koc dan sebagainya. Kalau tidak dibeli segera maka lambatlah pulangan pelaburan membina landasan elektrik itu. Sudah tentu kerajaan ada sebab musababnya dan pasti juga ada perancangan tertentu ..tetapi rakyat tidak tahu.

Pihak kerajaan sejak merdeka lagi tidak berapa pedulikan KTMB dari segi menyediakan peruntukan untuk mempermodenkan sistem perkeretapian negara. Hampir semua gerabak barang yang ada merupakan peninggalan penjajah British dahulu. Hampir 85% gerabak barang sebenarnya tidak selamat digunakan kerana hampir 85% overdue brake and suspension repairs.

Semasa pentadbiran Pak Lah dulu kerajaan telah melantik syarikat SCOMI untuk baikpuleh gerabak gerabak barang KTMB. Anak syarikat SCOMI itupun tiada pengalaman dan hanya dapat perbaikki 3 unit gerabak seminggu. Jumlah ini tidak akan dapat selesaikan masalah kekurangan gerabak selama-lamanya kerana hampir semua gerabak perlu dibaikki keseluruhannya.

PENSWASTAAN SENTUL DILAKUKAN SECARA GOPOH – GAPAH DAN PUNCA SETBACK UTAMA KHIDMAT KTM

Setback KTMB bermula dengan pengambilalehan Kompleks Stor & Kejuruteran KTMB termasuk Kelab Golf Sentul oleh kerajaan ketika itu. Pada mulanya projek ini diberikan kepada Taiping Consilidated Bhd ( TCB ) Kemudian diambil aleh oleh YTL Bhd.
Tidak mengapalah kerajaan berbuat demikian ..kerana kerajaanlah pemilik KTMB tetapi adalah langkah yang silap menyerahkan harta umpama jantung KTMB kepada TCB sebelum syarikat itu membina bengkel baru untuk menggantikan Bengkel Pusat Sentul. Adakah peruntukan supaya TCB siapkan dulu bengkel barulah dibenar meruntuhkan bengkel sedia ada ?

Saya rasa tiada peruntukan sebegitu kerana kos membina Bengkel Baru di Batu Gajah yang baharu saja disiapkan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Ini adalah perkara yang pelik dan susah untuk difahami.

Ketiadaan Bengkel Pusat menimbulkan pelbagai masalah yang timpa menimpa kepada KTMB…saperti yang dihadapi hari ini. Masalah seperti ini sudah tentu menambah kegawatan….

Apabila rakyat mengutuk dan menghina pengurusan dan kakitangan KTMB adakah kerajaan mempertahnkan KTMB ? Boleh ke ???

BERSAMBUNG ………

Salam kepada semua warga KTMB
Yang masih dikenali & yang baru
Omarabdullah…once a railwayman..always a railwaymen

Sabtu, 3 April 2010

Salam Sejahtera

Assalamualaikum saudara pembaca ..semuga sentiasa dalam Rahmat Allah.

Saya baru buka blog ini dan inilah rencana pertama saya untuk dikongsi bersama. Silalah baca dan silakan beri komen dan cadangan..

Saya telah mengikuti beberapa blog tempatan mahupun yang disenaraikan dalam Mybloghub dan menikmati pelbagai maklumat yang dipaparkan. Blog yang mesti saya baca setiap hari tentulah blog negarawan kita Dr Mahathir ..chedet.com. Sejak dulu saya memang kagum dengan pemikiran dan keberanian serta sikap tulus dan ikhlas Dr Mahathir. Pada usia lanjut pun buah fikirannya sangat bernas. Saya juga kagum mendapati kebanyakan pelawat blognya adalah golongan muda. Didoakan agar Allah akan melanjutkan usianya dan Tun sentiasa dalam keadaan sihat..kerana negara masih memerlukan beliau.

Bercakap mengenai Dr M , saya teringat semasa beliau memberi saya peluang menjadi Ahli Parlimen Tampin pada tahun 1982 dahulu. Ucapan sulung saya di Parlimen ialah mengenai Cadangan Agar Kerajaan Mengadakan Dasar Pengangkutan Negara. Pada hari saya berucap itu Dr M tiada diParlimen agaknya keluar negara.

Antara yang saya cadangkan ialah agar kerajaan membenarkan lori khasnya lori treler menambah ganda atau axle. Jika axle ditambah maka beban muatan ( berat ) akan dapat ditampung secara serata oleh jumlah tayar pada treler itu. Ini akan mengurangkan tekanan terhadap permukaan jalan sekaligus akan membantu kurangkan masalah jalan rosak pecah berlubang - lubang yang banyak pada masa itu. Saya juga berhujah bahawa penambahan axle akan membolehkan sebuah lori itu membawa lebih mutan dari apa yang biasa dibawa . Ini barangkali boleh menurunkan kadar tambang lori kerana faktor economic of scales. Pengusaha lori juga boleh membeli prime mover / kepala lori treler yang berkuasa tinggi..dan ini boleh menjimatkan kos penyelengaraan secara jangka panjang.

Saya juga mencadangkan agar kerajaan membina mesin mesin timbang disetiap laluan yang akan diurustadbir oleh JPJ. Dengan cara ini pemilik lori akan tidak berani lagi melanggar had muatan ..dan cara ini akan memberi keadilan kepada pemilik lori mahupun pihak berkuasa. Juga dicadangkan agar kerajaan mengadakan kadar tambang nasional berdasarkan jenis muatan yang dibawa dikira pada kiraan ton/ kilometer.

Apa yang hendak saya tekankan disini ialah walaupun Dr M tiada mendengar ucapan saya ( dan lain lain ahli parlimen ) rupanya Tun membaca handsat ( rekod / catatan percakapan ) setiap ahli parlimen. Wp sibuk Tun masih ada masa membaca handsat.

Saya katakan begitu kerana kalau tidak silap saya dalam tahun 1983 kerajaan mengikut dan melakukan apa yang saya cadangkan. Pada hari ini kita lihat lori lori treler satu axle sudah tidak banyak lagi. Yang banyak ialah lori yang banyak axlenya kadang kadang sampai 4 ( macam lori ExxonMobil )

Hari ini juga kita lihat boleh dikatakan disemua laluan sudah ada mesin timbang JPJ. Macam yang ada di Pedas itu pula ..disiapkan dengan rumah pegawai & kakitangan JPJ. Yang tidak dilakukan hingga kini ialah penyelarasan tambang lori dengan mengadakan kadar per ton kilometer nasional. Barangkali kerajaan mahu keadan pasaran menentukannya.

Saya ceritakan perkara ini disini bukan kerana nak bangga diri..bahawa cadangan saya sebagai ahli parlimen biasa ..diikut oleh Perdana Menteri..tidak ada niat itu samasekali. Tujuan saya ialah untuk menunjukkan kepada rakyat malaysia ..betapa prihatin dan tingginya keperibadian insan bernama Mahathir Mohamad

Dalam perbahasan yang lain, saya mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula struktur ekonomi desa. Antara yang saya cadangkan ialah pihak kerajaan mengadakan rancangan perumahan mampubeli dikampong kampong untuk generasi kedua,siap dengan semua kemudahan asas. Saya cadangkan agar kerajaan memajukan tanah milik kerajaan dengan memecahkan kepada lot lot bungalow l.k enam (6 ) lot saekar.Saya namakan cadangan rancangan itu sebagai Kampong Halacara Baru.

Cadangan saya ini pun rupa-rupanya diterima oleh Dr M. Hari ini kita lihat rancangan perumhan desa banyak dibangunkan.

Di - Gemas, Kg Halacra baru Kg Londah sebenarnya diluluskan kerajaan untuk dibina pada tahun 1986. Pada perancangan awal apa yang dipersetujui ialah kawasan bekas rezab hutan jelai-gemas yang ada di kampong ulu ladang dipecahkan kepada lot lot bersaiz 10,000 k.p untuk dibahagikan kepada penduduk gemas. Entah apa sebabnya rancangan itu telah dipinda dan pembinaan rancangan perumahan itu hanya dapat dibuat pada tahun 2000 an.( saya tidak tahu sebabnya kerana khidmat saya sebagai ahli parlimen tampin tamat pada tahun 1986 )

Saya juga ingin ambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada penduduk tampin/ gemas kerana ramai yang sudah berminat untuk menjadi blogger. Ini perkembangan yang baik dan sesuai dengan kemajuan IT dan kemajuan global. Blogging atau/dan melayari blog blog bukan sahaja menambah ilmu ..tetapi merupakan cara menamam tabiat suka membaca dan menulis. Ianya juga menjadi media /pengantara antara pemimpin dengan rakyat.

Rakyat boleh memberi cadangan, komen dan kritikan kepada pemimpin. Pemimpin pula sewajarnyalah bersikap proaktif dan berfikiran terbuka terhadap apa jua yang dicadang dan dikritik atau komen rakyat. Semuanya dilakukan untuk kebaikan semua.

Antara blog blog tempatan yang menjadi tumpuan saya ialah blog tampin oh tampin, gemasindah dan gotahlantun. Pada hemat saya wp ada yang boleh dikatakan pedas pedas yang ditulis ..dari segi objektif dan tujuan masih lagi berlandaskan niat murni untuk membawa kemajuan dan faedah kepada rakyat khasnya orang melayu.

Sekian, InsyaAllah pada rencana yang lain saya akan tulis pengalaman pengalaman hidup saya ..yang saya alami semasa saya berkhidmat sebagai pegawai KTMB, Ahli Parlimen dn juga semasa saya menjadi pemaju perumahan kerdil pada masa yang lalu.

Hari ini ,saya hanya menjadi pesara. Masa lapang saya penuhi dengan menanam lada api dan membaca / mengkaji ayat ayat Allah dan buku buku agama..kerana pada masa masa muda dulu terlalu sikit yang dapat dibaca..lebih lebih lagi buku buku agama.

Kepada yang mengenali saya ..atau yang tidak mengenali saya..saya mohon setulus tulus maaf dari saudara semua jika ada kata kata dan tindakan saya semasa menjadi Ahli Parlimen Tampin dahulu ( 1982-1986 ) dan juga masa masa selepas itu menyakitkan hati atau mendatangkan kepayahan kpd sdra semua.

Terima kasih dan...

Salam Takzim.

Omar Abdullah.